JITRA: Seramai 33 pelajar Semester 4, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa (BIAM) telah menganjurkan Program ‘Smart Leadership, Journey To Knowledge’ di Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin (SKSAT), baru-baru ini.
Pengarah program, Tuan Haziq Azraai Tuan Hazli berkata, merealisasikan program ‘Service-Learning Malaysia University for Society’ (SULAM), program ini bertujuan merakyatkan universiti awam dengan keterlibatan masyarakat setempat termasuk golongan remaja dan belia.
Pengisian program yang dianjurkan adalah termasuk aktiviti luar bilik darjah, seperti ‘treasure hunt’, ‘minefield’, telefon rosak dan ceramah bertajuk ‘Smart Leadership, Journey To Knowledge’ yang disampaikan oleh pensyarah SoIS, Rusnawati Ismail.
Menurut Tuan Haziq, setiap aktiviti yang dijalankan secara tidak langsung memberi pendedahan terperinci dan praktikal berkenaan aspek dan ciri-ciri kepemimpinan terunggul yang akan melahirkan modal insan yang terbilang.
“Pendedahan awal sedemikian adalah amat penting bagi memastikan pelajar menjadi lebih cakna terhadap aspek kepimpinan. Hal ini secara langsung dapat meningkatkan nilai positif dan ‘soft skill‘ pelajar, malah turut boleh meningkatkan usaha kerajaan dalam menyediakan modal insan yang berkualiti untuk memimpin negara di masa hadapan,” katanya.
Selain melengkapkan kursus Kepimpinan Organisasi (GFPP2403), Tuan Haziq berharap bahawa program ini dapat memberikan manfaat kepada pelajar SKSAT untuk menempuh alam remaja yang semakin mencabar dan seterusnya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Program ini turut dihadiri oleh Guru Setiausaha Hal Ehwal Murid, SKSAT, Mashitah Mohammad dan Guru Setiausaha Unit Pengawas SKSAT, Normah Musa.