All News

PROGRAM MEKAR SOIS DAN SMK PEDU “EMPOWER YOU: UNLOCKING YOUTHS’ LEADERSHIP POTENTIAL” CUNGKIL BAKAT KEPIMPINAN PELAJAR SEKOLAH

STAJ NEWS2023

22 Jun: Seramai 41 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa (BIAM), Pusat Pengajian Antarabangsa telah berjaya menganjurkan Program “Empower You: Unlocking Youths’ Leadership Potential” dengan kerjasama Sek Men. Kebangsaan (SMK) Pedu, Kuala Nerang, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Pedu dan Persatuan Sains Politik, Universiti Utara Malaysia. Program ini merupakan sebahagian daripada Program Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) yang dilancarkan bagi meningkatkan bidang pendidikan, ekonomi dan sosial komuniti yang terpilih.


Program ini telah dirasmikan oleh Encik Mohd Najid bin Salleh “Focal person” Penglibatan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS) Daerah Padang Terap dan Negeri Kedah dan disertai seramai lima puluh orang (50) orang pelajar Tingkatan Lima dan Empat Sek Men. Kebangsaan (SMK) Pedu. Menurut En. Mohd Najid, program seperti ini sangat penting bagi menyokong kemenjadian pelajar dan mencungkil bakat terpendam mereka sebagai seorang pemimpin. Program ini juga menunjukkan komitmen pihak universiti untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan dan pemerkasaan komuniti setempat.


Para peserta yang terlibat telah didedahkan dengan ilmu pengetahuan berkaitan kepimpinan melalui ceramah yang disampaikan oleh Dr Siti Darwinda Mohamed Pero, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Pusat Pengajian Antarabangsa, UUM. Para peserta juga telah didedahkan dengan aktiviti penelitian dan pembentangan kajian kes serta aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) berkaitan kepimpinan yang dilaksanakan bersama para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa (BIAM), Pusat Pengajian Antarabangsa. HABIS.