All News

SOIS CAKNA NASIB MANGSA BANJIR CHANGLUN

image004

SINTOK, 27 SEPT – Akibat hujan renyai yang berpanjangan sejak semalam, beberapa kawasan di sekitar Mukim Temin seperti Pekan Changlun, Kampung Nangmah, Paya Nong Mi serta Taman Sayang dilanda banjir. Dua Pusat Penempatan Sementara (PPS) telah dibuka di mukim Temin iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Changloon dan Dewan Orang Ramai Kg Tradisi, Changlun.
Cakna dengan nasib yang melanda mangsa banjir, Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) telah mengambil inisiatif segera mengunjungi mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kg Tradisi, Changlun. Kunjungan ini diadakan bagi menyantuni mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut  sambil menghulurkan sedikit bantuan berupa barangan keperluan asas kepada wakil 12 orang keluarga yang terlibat.
Rata-rata mangsa yang ditemui menzahirkan rasa terharu di atas keprihatinan pihak SoIS terutamanya dalam memberikan semangat moral kepada mereka dalam menghadapi ujian yang melanda ini. Bakul sumbangan yang dihulurkan juga sedikit sebanyak memberikan kegembiraan dalam mengurangkan beban yang dialami mereka akibat kemusnahan harta benda akibat banjir.
Hadir pada kunjungan tersebut termasuklah) Tuan Muhammad Ridhwan Ismail, Penghulu Mukim Temin; Dr Siti Darwinda Mohamed Pero, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi SoIS); Encik Muhammad Khairul Shafiq Bakar, Pembantu Pembangunan Masyarakat, Daerah Kubang Pasu,  barisan pengurusan dan staf SOIS. Habis.