All News

KEM MOTIVASI DAN KEPIMPINAN DI KAMPUS UUM SINTOK PENUTUP PROGRAM MEKAR SOIS-SMK PEDU

kem motivasi

24 NOVEMBER 2023 – Seramai 35 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan  (SMK) Pedu, Kuala Nerang telah berpeluang untuk merasai kehidupan sebagai warga kampus Universiti Utara Malaysia apabila menyertai Kem Motivasi dan Kepimpinan bertemakan ‘Inspire You: A Step to University’s Campus Life’ selama dua hari satu malam di kampus UUM. Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Pengajian Antarabangsa, SMK Pedu, INASIS Bank Rakyat dan Kelab Hubungan Antarabangsa (INTAFF Soc) merupakan program yang dianjurkan di bawah program Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) yang telah dilancarkan pada September 2022.

Penganjuran program ini juga adalah kesinambungan kepada Bengkel Kepimpinan siri 1 yang telah dilaksanakan pada bulan Jun 2023 yang lalu di SMK Pedu. Objektif penganjuran program ini adalah bagi mencungkil potensi kepimpinan setiap peserta yang terlibat dan memberi motivasi kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh ke peringkat menara gading. Rata-rata peserta yang menyertai program ini sangat teruja dan menyatakan tempoh pelaksanaan selama 2 hari 1 malam adalah tidak mencukupi dan berharap pihak penganjur dapat menimbangkan untuk mengadakan program seperti ini dengan tempoh yang lebih panjang di masa hadapan.

Turut hadir pada acara perasmian penutup Encik Abdul Rahman bin Malik, Pengetua SMK Pedu; Prof Madya Dr Nazariah Osman, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa; Dr Nor Azura A Rahman, Pengetua INASIS Bank Rakyat, barisan penjawat SOIS, guru-guru SMK Pedu dan pelajar Universiti Utara Malaysia. Habis.

 

Berita oleh: Ariff Zakuan bin Rusdi

Gambar: Safia Nisa Binti Zaidi