All News

Martabatkan wanita, depani cabaran bias gender

 

wanida

 

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK: Wanita sesungguhnya menjadi harapan dan peneraju utama kesejahteraan negara.

Bagaimanapun, dalam memartabatkan golongan hawa ini, pastinya terdapat cabaran besar untuk kecemerlangan dan letak duduk kepimpinan wanita dalam apa sahaja peringkat dan ruang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, cabaran yang dimaksudkan itu ialah bias gender.

 

wanida

 

Menurutnya, ianya bukan sahaja datang daripada golongan lelaki, namun sebaliknya daripada komuniti wanita itu sendiri.

“Ini berdasarkan kepada hasil beberapa kajian seperti diterbitkan oleh Konrad Adenauer Stiftung 2022 dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), malah Gender Social Norms Index (GSNI) yang diperkenalkan oleh United Nation Development Programmes (UNDP) juga menunjukkan dapatan yang seiring.

“Wanita yang diberikan amanah dan kepercayaan perlu menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sehabis baik kerana ia lazim dijadikan ukur nilai kepada keupayaan dan kecemerlangan wanita keseluruhannya, termasuk generasi kepimpinan wanita yang sedang usaha kita gilap dan bina,” katanya ketika merasmikan Seminar Kepimpinan Wanita dan Kesejahteraan Keluarga (Zon Utara) di Auditorium SOIS, semalam.

 

wanida

 

Seminar selama sehari itu dianjurkan Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Persatuan Gabungan Wanita Kedah (WANIDA).

Aiman Athirah mahu golongan wanita melihat ke dalam diri dan masyarakat di sekeliling bagi memastikan tidak terperangkap dalam sikap diskriminasi gender yang secara halus menjadi norma dan normal dalam membentuk sikap, pendirian dan pandangan.

Beliau berharap seminar ini boleh dijadikan sebagai titik tolak platform menyebarkan kefahaman, ilmu dan kemahiran mengenai kepimpinan wanita sera memperkasakan kepimpinan wanita supaya menjadi lebih hebat lagi.

Menurutnya, beliau yakin, kepimpinan wanita mampu menjadi peneraju perubahan demi menentukan kesejahteraan negara.

“Kalau dilihat pada statistik di dalam politik, jumlah wanita dalam badan pembuat keputusan adalah masih rendah.

“Sebagai contoh, di Dewan Negara pada tahun 2023 sebanyak 16.1 peratus senator wanita berbanding 83.9 peratus senator lelaki, manakala pada tahun 2021 pula adalah 18.2 peratus senator wanita dan 81.8% senator lelaki,” katanya.

 

wanida

 

Tambah Aiman Athirah lagi, di Dewan Rakyat pula, statistik terkini (2023) menunjukkan hanya 13.5 peratus ahli parlimen wanita berbanding 86.5 peratus 16 ahli parlimen lelaki.

Pada tahun 2021, katanya, peratus ahli parlimen wanita adalah 14.9 peratus dan ahli parlimen lelaki 84.2 peratus, sekali gus menunjukkan jumlah ahli parlimen wanita menyusut.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Russayani Ismail turut berkongsi tentang kepentingan kepimpinan wanita dan menyokong dasar kerajaan dalam meletakkan SDG 5 iaitu kesaksamaan gender di mana wanita diberikan ruang dan peluang sama rata dalam pengurusan.

Hadir sama, Pengerusi WANIDA, Dato’ Suraya Yaacob. Habis.

– Kirti A/P Vithyananthan (Pelajar Pelatih dari SMMTC)