Pada 21 Mei 2024, Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) telah menganjurkan program SOIS Townhall 2024 yang bertempat di Auditorium SOIS, Universiti Utara Malaysia (UUM). Program ini dianjurkan bersama oleh SOIS, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), International Business Society (IBMS), Persatuan Sains Politik (PSP), International Affairs Society, dan Model United Nations (MUN).
Townhall ini dihadiri oleh Dekan SOIS, pegawai pentadbiran, serta pelajar-pelajar SOIS. Tujuan utama program ini adalah untuk menyediakan platform interaksi terbuka antara pelajar dan pihak pentadbiran melalui sesi "heart to heart". Dalam sesi ini, pelajar diberi peluang untuk berkongsi pandangan, idea, dan cadangan serta meluahkan sebarang kebimbangan atau isu yang mereka hadapi.
Dekan SOIS Prof Dr. Laila Suriya Ahmad Apandi, bersama pegawai pentadbiran lain, turut mengambil kesempatan ini untuk mendengar secara langsung dari pelajar mengenai pengalaman mereka di SOIS. Perbincangan yang berlangsung dalam suasana yang mesra dan terbuka ini mencerminkan komitmen pihak pengurusan untuk memastikan kesejahteraan dan kepuasan pelajar. Pelbagai isu penting seperti kurikulum, kemudahan kampus, dan aktiviti kokurikulum dibincangkan, serta pelan tindakan diambil untuk penambahbaikan.
Program SOIS Townhall 2024 ini bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan antara pelajar dan pihak pentadbiran, tetapi juga meningkatkan komunikasi dua hala yang lebih efektif. Melalui sesi "heart to heart" ini, pelajar merasa lebih dihargai dan didengari, manakala pihak pentadbiran pula mendapat input berharga untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan pengurusan di SOIS.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua yang telah menjayakan SOIS Townhall 2024. Untuk memastikan dialog yang berterusan antara pelajar dan pentadbiran, pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diadakan dengan lebih kerap pada masa akan datang.