All News

BENGKEL JELAJAH KECEMERLANGAN STPM:PERSIAPAN MANTAP MENUJU KECEMERLANGAN AKADEMIK

Bengkel Jelajah Kecemerlangan STPM telah dianjurkan dengan jayanya oleh Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 26 dan 27 Jun 2024. Program ini telah Menarik penyertaan seramai 34 orang pelajar tingkatan 6 serta 10 orang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Changlun, program ini berlangsung selama dua hari di bilik kuliah BK9 dan BK10.

 

Majlis pembukaan bengkel ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan SOIS, Prof. Dr. Laila Suriya Ahmad Apandi. Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan kehadiran semua peserta dan menekankan kepentingan persiapan yang rapi dalam menghadapi peperiksaan STPM. Prof. Dr. Laila juga berkongsi beberapa tips berguna untuk mencapai kecemerlangan akademik dan mendorong pelajar untuk sentiasa berusaha gigih dalam mencapai impian mereka.

 

 Sepanjang dua hari bengkel ini, para peserta terlibat dalam pelbagai sesi motivasi yang disampaikan oleh Alumni UUM dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) SOIS. Sesi-sesi ini direka untuk memberi inspirasi dan semangat kepada pelajar, di samping menyediakan teknik-teknik pembelajaran yang efektif dan strategi menguruskan masa dengan baik. Melalui perkongsian pengalaman dan nasihat daripada alumni yang berjaya, pelajar didedahkan kepada realiti kehidupan universiti dan cabaran yang perlu dihadapi.

 

Bengkel ini bertujuan untuk membimbing pelajar dalam mempersiapkan diri untuk peperiksaan STPM serta memberi pendedahan awal tentang suasana pembelajaran di peringkat universiti. Para pelajar dan guru yang menyertai bengkel ini memberikan maklum balas yang sangat positif dan menghargai usaha SOIS dalam menganjurkan program yang bermanfaat ini.

 

Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk terus menyokong kecemerlangan akademik pelajar-pelajar kita. Terutamanya kepada Dekan SOIS, Prof. Dr. Laila Suriya Ahmad Apandi, Alumni UUM, dan wakil MPP SOIS yang telah berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dengan para peserta, terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan Bengkel Jelajah Kecemerlangan STPM ini.