Pada 4 hingga 6 Julai 2024, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Bersama Komuniti, Industri dan Alumni bersempena Bulan Alumni Universiti Awam. Program ini dianjurkan bersama oleh Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), dan Pusat Alumni, bertempat di Resort KEDA Bendang Man, Kampung Bendang Man.
Program ini telah menarik penyertaan yang memberangsangkan dengan kehadiran 32 orang staf UUM, 10 wakil dari agensi luar, 40 pelajar dari SOG, serta 40 orang komuniti Kampung Bendang Man. Aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang program ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara universiti, industri, dan komuniti setempat.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi ceramah motivasi, bengkel pembangunan komuniti, dan aktiviti gotong-royong. Program ini juga menyediakan platform untuk alumni UUM berkongsi pengalaman mereka dan memberi inspirasi kepada pelajar serta komuniti setempat.
Kerjasama antara Pusat Pengajian Kerajaan, GSGSG, dan Pusat Alumni telah berjaya menganjurkan program yang memberi impak positif kepada semua pihak yang terlibat. Program ini bukan sahaja memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar dan staf UUM, tetapi juga mengeratkan hubungan antara universiti dengan masyarakat dan industri.
Pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diadakan secara berkala untuk terus menyokong pembangunan komuniti dan memperkukuhkan jaringan antara UUM dengan pihak luar. Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan Program Tanggungjawab Sosial UUM Bersama Komuniti, Industri dan Alumni ini.